Artikel: Harus lelaki memakai gelang untuk berubat
Sumber: UTUSAN MALAYSIA, Mega, Jumaat-11 Mei 2007.
Ruangan: KEMUSYKILAN AGAMA, Bersama MOHD. FARID RAVI ABDULLAH.
Pensyarah di Kolej Universiti Islam antarabangsa Selangor.
SOALAN:
Baru-baru ini, saya telah ditunjukkan sejenis gelang tangan yang bermagnet dimana ia mampu menstabilkan ion-ion di dalam aliran darah badan kita. Secara tidak langsung ia dapat memberi kebaikan dari segi kesihatan dan juga dapat menyembuhkan beberapa penyakit dengan izin Allah.
Saya ingin tahu, apakah hukumnya bagi kaum lelaki untuk memakainya untuk kebaikan kesihatan?
JAWAPAN:
Islam mencegah umatnya dari kalangan lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Namun sekiranya gelang magnet ini terbukti manfaatnya dari sudut perubatan dan diperakui keberkesanannya, maka ia harus di pakai oleh orang lelaki dengan tujuan berubat.
Di dalam Islam, adakalanya Islam mengharuskan perubatan dengan perkara haram atau bahan yang haram. Cuma kaedah fikah mendasari perkara ini “ sesuatu darurat (keperluan yang mendesak) diukur mengikut kadar keperluannya.”
Maksudnya gelang itu dipakai mengikut keperluan sahaja. Saya juga ada melihat orang lelaki memakai gelang tangan yang difahamkan dapat membantu kelancaran pengaliran darah. Asalkan gelang itu direka khas dan bentuknya untuk orang lelaki dan dimaklumi sebagai gelang membantu pengaliran dan kelancaran darah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan